Monday, July 28, 2008

Malaysiaku, Malaysiamu jua..

SETINGGI-TINGGI NAMA DIJULANG, TINGGI LAGI MARUAH DIJUNJUNG!!!

Misi ke Olimpik Beijing bagi kontinjen Malaysia adalah untuk meraih pingat emas yang pertama buat Negara sepanjang zaman. Misi ini digalas oleh sejumlah atlit yang telah membuat persiapan rapi dan mantap. Tiada bomoh, tiada pawang, hanya semangat juang yang tinggi serta diiringi doa yang penuh barakah akan dibawa ke Beijing. Apa yang perlu diingatkan adalah para atlit harus memikul tanggungjawab ini dengan penuh harapan dan semangat. Bukan kerana wang dan ganjaran, tetapi pencapaian dan rekod yang paling terbaik. Sekurang-kurangnya rekod kebangsaan dapat diperbaharui dengan sempurna. Para atlit tidak seharusnya berasa rendah diri dan lemah semangat semasa di Olimpik Beijing nanti. Ini kerana mereka adalah setaraf dengan para atlit dunia kerana berjaya layak ke Olimpik. Selain itu, kemudahan sukan yang ada di Malaysia adalah setaraf dengan spesifikasi dunia. Justeru, tidak ada apa yang harus dibimbangkan oleh para atlit Malaysia. Walaupun tidak dapat memecahkan rekod dunia, apa yang diharapkan adalah persaingan yang hebat dapat dilakukan oleh para atlit Malaysia. Mereka bukan membawa nama individu, tetapi mereka membawa nama Negara, imej, dan maruah. Malaysia boleh!!!

*Sumber daripada Utusan Online ‘Bekas jaguh tiup semangat’ 29 Julai 2008

Monday, July 21, 2008

RELA MAIN PERANAN

Ikatan Relawan Rakyat Malaysia atau RELA adalah sebuah pasukan keselamatan sukarela yang dianggotai oleh penduduk kampung atau Bandar. Tujuan penubuhannya adalah untuk menjadi mata dan telinga kerajaan di dalam menangani isu-isu keselamatan dan ketenteraman awam. RELA membantu pasukan Polis dan Tentera dalam apa jua situasi mendatang. Latihan yang diberikan adalah lengkap dan berkesan. Saranan kerajaan adalah supaya rakyat Malaysia terutama para belia menganggotai pasukan RELA seterusnya menambah jumlah yang sedia ada. Dengan ini, Negara akan mempunyai bilangan kerahan tenaga keselamatan yang mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Antara tanggungjawab RELA adalah membasmi pendatang tanpa izin, menjaga keselamatan kawasan, membasmi penyeludupan, dan menangani subversive daripada pihak yang tidak bertanggungjawab. Para belia seharusnya mengambil peluang menceburi dalam keanggotaan RELA kerana selain daripada insentif elaun, mereka berpeluang untuk mendalami kemahiran ketenteraan yang diadaptasikan mengikut protokol orang awam. Kini, keanggotaan RELA adalah berjumlah kira-kira 500 000 anggota.

* Sumber daripada Utusan Online ‘ RELA perlu bantu tangani fitnah’ 21 Julai 2008

Sunday, July 20, 2008

Warga sukan,Warga bersemangat!

SI CACAT YANG HEBAT

Menjelang Sukan Olimpik di Beijing bulan depan, persediaan yang rapi oleh seluruh pasukan dunia berjalan lancar. Tidak ketinggalan juga atlit dari Negara Afrika Selatan, Oscar Pistorius yang cacat anggota kaki kedua-dua belah. Beliau bakal menyertai acara 4x400meter untuk kontinjen Afrika Selatan. Berbekalkan kaki sintetik yang beliau gunakan, beliau boleh berlari seperti manusia normal bahkan lebih laju lagi. Beliau juga adalah pemegang rekod dunia bagi acara 400meter Paralimpik. Malangnya, untuk temasya Olimpik kali ini, beliau tidak terpilih untuk meyertai acara 4x400meter kerana catatan masa beliau kurang beberapa saat dari had masa kelayakan. Beliau tanpa berasa malu dan sangat yakin serta terus mensasarkan untuk menyertai Sukan Olimpik 2012 di London. Selain tidak layak dari segi masa, spekulasi mengenai kaki sintetik yang beliau gunakan juga menjadi perbicaraan. Mengikut Persekutuan Olahraga Antarabangsa, kaki beliau mampu mengalahkan atlit normal. Akan tetapi, mengikut kajian, ia adalah normal dan tidak memberi sebarang kelebihan kepada Oscar. Berdasarkan fenomena Oscar Pistorius, dapat disimpulkan bahawa saiz, rupa paras, bentuk badan, fizikal, dan keturunan tidak menjejaskan apa-apa di dalam sukan. Yang paling penting kegigihan, kecekalan, dan semangat juang yang tinggi demi mengharumkan nama Negara. Ini boleh dijadikan contoh teladan yang baik buat atlit Malaysia yang segala-galanya cukup lengkap dalam misi ke Sukan Olimpik. Malaysia Boleh!!!

*Sumber daripada Utusan Online ‘Pelari kaki bilah terlepas Olimpik’ 21 Julai 2008

Wednesday, July 16, 2008

INFLASI BEBANKAN RAKYAT KINI

Seiring dengan kadar kenaikan harga minyak dunia, yang turut terlibat dengan kenaikan adalah harga barangan semasa. Ini diburukan lagi dengan kejatuhan nilai mata wang banyak Negara di dunia. Bagi Negara kita, tidaklah begitu dirasai kerana banyak pelan-pelan pembangunan telah dirangka. Akan tetapi, masalah yang Negara kita hadapi adalah peningkatan kos bahan mentah akibat daripada pengurangan pengeluaran bahan mentah. Dalam hal ini, harga kawalan tidak boleh dilaksanakan kerana sekiranya dilaksanakan, pengeluar akan mencari pihak yang sanggup membayar dengan harga yang tinggi untuk membeli bahan mentah tersebut. Pihak yang sanggup membayar dengan harga yang tinggi tadi mampu kerana tenaga buruh yang mereka ada adalah murah dan ramai. Ini akan merugikan Negara kita kerana pihak pengeluar tidak mahu lagi membekalkan bahan mentah kepada kita. Justeru itu, cara terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah dengan memajukan projek-projek pembinaan dan pembangunan. Dengan cara ini, akan menyebabkan nilai pasaran saham Negara dan pembangunan akan meningkat. Ini akan meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk terus melabur di Negara kita. Selain itu juga, dengan terlaksana projek-projek tersebut, peluang pekerjaan di Negara kita akan bertambah seterusnya akan meningkatkan sektor ekonomi tempatan.

*Sumber daripada Utusan online ‘Rancang hadapi kesan inflasi’ 16 Julai 2008
KEWANGAN PERSATUAN BOLA SEPAK MALAYSIA BOLEH DIJANA

Masalah yang kian runcing kini adalah mengenai isu gaji pemain bola sepak tempatan sukar untuk dijelaskan oleh persatuan bola sepak negeri. Ini berikutan masalah kos perbelanjaan pasukan dan dana yang hanya cukup-cukup untuk sara hidup pasukan itu sendiri. Walaupun dana dan geran yang diberikan oleh kerajaan berjumlah jutaan ringgit, namun peningkatan perbelanjaan pasukan kian bertambah. Seharusnya kita patut mencontohi persatuan-persatuan eropah yang dapat menjana wang persatuan melalui sumber-sumber seperti pelaburan, barang-barang sukan, skim kredit, sewa-beli, gadaian, hartanah, dan akaun-akaun koperasi. Faedah daripada cara tersebut adalah persatuan dapat menjana pelabuaran sendiri dan masyarakat dapat menikmati keistimewaan dari segi dividen dan pengecualian faedah bank. Selain itu, antara perkara positif secara tidak langsung dapat dinikmati persatuan bola sepak adalah penghapusan barang-barang sukan tiruan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Persatuan bola sepak akan menghasilkan barangan mereka sendiri melalui syarikat-syarikat tajaan mereka. Kita mestilah bersikap pro-aktif dalam mempelbagaikan kaedah-kaedah dan konsep-konsep sukan demi memajukan industri sukan Negara kita. Pihak-pihak dan pakar-pakar sukan seharusnya melaksanakan segala ilmu yang ada agar semua pihak mendapat manfaatnya.

*Sumber daripada Utusan online ‘Potong geran gagal bayar gaji tertunggak’ 16 Julai 2008
KELI JADI SASARAN UMUM

Dulu ikan keli hanya dikenali di sawah dan sungai-sungai di kampung oleh masyarakat. Ikan keli selalu dikaitkan dengan pelbagai jenis masakan kampung turun temurun. Kini siapa sangka yang Si Keli dulunya tidak dinilai dengan nilai yang tinggi, sekarang menjadi antara produk paling dikehendaki ramai. Ramai usahawan kini beralih arah untuk menternak ikan keli secara lebih komersial. Nilai khasiat keli telah menyebabkan banyak permintaan dari dalam dan luar Negara. Kini, banyak program usahawan bertumpu kepada penternakan ikan keli secara komersial dan teratur. Antaranya dijalankan oleh kementerian usahawan dan koperasi (MECD) dan Agrobank. Ikan keli tidak begitu cerewet untuk diternak tetapi memerlukan cara yang betul dan sempurna demi menghasilkan ika yang bermutu. Ini merupakan satu peluang kepada para graduan yang tidak mempunyai pekerjaan untuk menceburkan diri dalam bidang usahawan. Bukan setakat ikan Keli yang boleh diusahakan, tetapi tanaman seperti buah naga dan kucai juga dapat dikomersialkan.
* Sumber daripada Utusan online 'Sambutan hebat begkel Keli' 13 Julai 2008

Tuesday, July 15, 2008

Ole-ole Malaysia!!

NICOL DAVID TERIMA GELARAN DATUK

Sejarah tercipta apabila seorang atlit muda yang begitu unggul di mata dunia telah mendapat pingat gelaran datuk. Ini membuktikan bahawa anak Malaysia boleh berjaya dan menempa nama di peringkat dunia. Gelaran tersebut wajar diberikan kerana berjaya mengharumkan nama Negara. Jadi, dengan kejayaan Nicol David ini, pemikiran negatif terhadap sukan di Malaysia dapat dihakis. Sukan boleh dijadikan kerjaya terkini di Malaysia asalkan ada usaha gigih dan semangat ingin maju kehadapan. Usia bukan penghalang untuk seseorang itu berjaya. Oleh itu, di Malaysia haruslah mengambil Nicol David sebagai contoh terbaik dalam arena sukan. Dalam masa yang singkat dan pembangunan yang pesat dalam sukan, Nicol David telah berjaya membuktikan usahanya selama ini tidak sia-sia. Justeru, kita harus berharap agar ada ramai lagi atlit-atlit Malaysia yang terus menggemilangkan nama Negara dan berjaya di arena sukan dunia. Bukan hanya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’. Malaysia boleh!!!
UJIAN PELURU BERPANDU IRAN GEMPAR!!!

Media memainkan peranan yang penting dalam sesebuah institusi Negara. Kredibiliti yang baik sesebuah Negara dan hubungan yang baik bersama media dapat memantapkan reputasi Negara tersebut. Segala berita terkini dan liputan yang menarik akan diberikan media dengan tepat dan cepat. Isu yang menarik perhatian dunia mengenai teknologi persenjataan Iran telah tersebar umum. Dengan kata lain, Iran mahu teknologi mereka setaraf dengan perkembangan semasa. Ini harus diberi pujian kerana Iran telah menggunakan segala kepakaran yang ada untuk membina sendiri teknologi mereka. Bagi Negara-negara membangun yang lain, mereka harus mengikut jejak langkah Iran untuk menjadi lebih maju lagi. Negara kita Malaysia seharusnya memberi peluang dan melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang-bidang professional untuk meningkatkan taraf teknologi yang ada sekarang. Para graduan seharusnya menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam memikirkan dan menghasilkan teknologi terkini. Jika kita terus mencontohi Iran, nescaya kita akan dapat menjadi lebih maju setapak ke hadapan seiring dengan Negara-negara maju di dunia.
*Sumber daripada Utusan online 'Iran uji peluru berpandu 2000km' 10 Julai 2008

Monday, July 14, 2008

Media seiring dengan kegemilangan sukan Malaysia

MALAYSIA PERTAMA KALI KE SUKAN OLIMPIK 1964

Sejarah membuktikan bahawa Malaysia sebuah Negara di Asia yang telah berjaya menempa nama di persada arena sukan dunia. Kejayaan demi kejayaan dilakarkan dengan sempurna dan berjaya ditonjolkan menerusi media meski pun teknologi ketika itu tidak secanggih sekarang. Ini kerana, ketelusan pihak organisasi sukan berhubungan dengan media telah menyumbang kepada pembentukan suatu imej yang begitu positif kepada sukan Negara. Tiada kesangsian isu di dalam sukan Negara ketika itu, melainkan sesuatu yang ikhlas lahir dari perjuangan atlit-atlit Negara. Politik sukan tidak pernah bermain di lubuk hati penulis-penulis akhbar dan media kerana tidak ada isu politik sukan yang begitu negatif seperti sekarang. Media telah berjaya mengharumkan dan menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan pasukan-pasukan Negara sesama sendiri. Hubungan yang baik antara individu sukan dan media serta prestasi yang cemerlang sedikit sebanyak telah menyumbang kepada liputan yang meluas dan membanggakan kepada masyarakat. Kini, walaupun sudah 44 tahun kegemilangan Olimpik Malaysia dan sukan Negara, daripada kaca mata media tidak jemu-jemu memuji dan membangga pencapaian skuad Negara, serta masih menjadi bualan mulut kepada rakyat Malaysia yang menceritakan 1001 kenangan kehebatan ahli sukan Negara.
*sumber daripada Utusan online ' Malaysia pertama kali ke Olimpik 1964 ' 10 Julai 2008