Sunday, August 31, 2008

Kepada kaki futsal

FUTSAL DAN KECEDERAAN

Di dalam sukan futsal yang semakin pesat membangun di Negara kita, ramai peminat dan pemain futsal tidak mengetahui bahawa kecederaan di dalam permainan futsal adalah tinggi. Ini kerana saiz gelanggang futsal di kebanyakan tempat adalah saiz untuk permainan rekreasi sahaja. Ruang yang terhad menyebabkan kerap berlaku pertembungan dan sentuhan bahagian anggota badan. Selain itu, kebanyakan peminat dan pemain futsal tidak mengetahui secara mendalam mengenai undang-undang dan peraturan sebenar permainan futsal dan ini mengakibatkan kecederaan berlaku. Antara kecederaan yang sering berlaku adalah terseliuh pergelangan kaki, koyak tendon, putus ligament, koyak otot, patah, melecet, dan luka. Kesemua kecederaan tersebut kebanyakannya berlaku pada bahagian kaki. Sekiranya berlaku kecederaan dalam yang tidak berdarah, rawatan menggunakan ais perlu dilakukan secepat mungkin dalam tempoh masa 48jam dan jika serius perlulah dirujuk kepada pihak hospital. Sekiranya pendarahan berlaku, rawatan pembasmi kuman dan pembersihan luka perlu dilakukan. Secara keseluruhannya, peminat dan pemain futsal perlu mendalami ilmu sains sukan dan sistem pengurusan fasiliti di Malaysia perlu mengikut spesifikasi antarabangsa.

*Sumber daripada Utusan online ‘Kecederaan berkaitan permainan futsal’ 30 Ogos 2008

Sukan atau suka?

KEMENANGAN TIDAK TERCAPAI, TETAPI TANGAN YANG MENCAPAI?

Di dalam kancah sukan negara kita yang tidak menentu dan terumbang-ambing tanpa hala tuju yang betul, muncul pula insiden yang boleh dianggap sangat memalukan. Apa tidaknya, pencabulan terhadap atlet dan pengurusan sukan wanita oleh pegawai sukan lelaki. Tugas dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka telah disia-siakan dengan pencapaian buruk atlet negara, ditambah pula dengan kes-kes cabul sebegini. Di dalam hal sedemikian, semua pihak badan sukan perlu mencari formula baru di dalam menguruskan atlet-atlet sukan. Selain itu juga, tindakan tegas perlu diambil bagi menghukum kesalahan yang sedemikian. Sukan di Malaysia telah lama mundur dan semakin ketinggalan. Justeru itu, badan-badan sukan perlu menitik beratkan pendidikan sains sukan dan menekan aspek serta konsep sukan yang betul kepada pihak-pihak pengurusan. Ini bersesuaian dengan usaha kearah memajukan industri sukan di Malaysia ini. Negara kita memerlukan produk sukan yang berkualiti dan setaraf dengan tahap dunia, bukannya produk yang hanya tahu kenyang seperti ‘Ular Sawa’. Kita tidak mahu mendengar lagi kes-kes kurang bermoral ini berulang lagi demi kesejahteraan semua pihak. Majulah Malaysia!!!

*Sumber daripada Utusan online ‘Penentuan dakwaan atlet dicabul’ 30 Ogos 2008

Sunday, August 17, 2008

Majulah Malaysia!!!

KEPAKARAN DALAM BIDANG TEKNIKAL DAN VOKASIONAL PERLU DITINGKATKAN

Di dalam dunia yang serba mencabar ini, semua bidang perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa agar tidak ketinggalan. Semua bidang yang ada perlu mendapat pengiktirafan sejajar dengan kemajuan bidang-bidang yang lain. Bidang-bidang pendidikan dan kepakaran yang ada sekarang seperti perubatan, sukan, pengurusan, perhotelan, perkhidmatan, ketenteraan, dan juga teknikal harus dijana. Bidang teknikal banyak memainkan peranan dalam membina pembangunan negara. Jika pihak kerajaan dapat meningkatkan mutu dan kualiti bidang teknikal dan vokasional, maka ini akan menguntungkan negara kerana kita tidak lagi akan bergantung kepada buruh dan kepakaran asing. Di dalam mengejar impian menjadi negara maju menjelang 2020, kita seharusnya menggunakan 100% tenaga kerja dan kepakaran dari dalam negara supaya setaraf dengan negara maju yang lain. Kepakaran dan tenaga kerja tempatan akan menjurus kepada kajian dan pemodenan teknologi oleh warga tempatan dan ini akan menjana teknologi dan ekonomi negara. Negara kita tanggungjawab kita! Justeru, kita sebagai rakyat Malaysia tidak harus malu menerajui apa-apa bidang sekalipun kerana kepelbagaian bidang akan meningkatkan taraf sesebuah negara. Malaysia maju 2020, Malaysia boleh!!!

*Sumber daripada Utusan Online ‘Aliran vokasional seawal tingkatan satu’ 13 Ogos 2008

Sukan lawan Perang?

SEMANGAT KESUKANAN MEMBAWA KEPADA PERKARA POSITIF

Sukan adalah elemen yang begitu positif untuk diterapkan oleh semua lapisan masyarakat. Ini dibuktikan dengan situasi peperangan antara Rusia dan Georgia. Meskipun di dalam kancah peperangan antara kedua-dua Negara, namun semanagat ingin berjuang di dalam sukan Olimpik terus membara. Mereka tidak berdendam antara satu sama lain. Bahkan, mereka terus menjanjikan aksi yang terbaik kepada seluruh warga dunia. Ini membuktikan bahawa, jika sukan disematkan dengan baik ke dalam jiwa setiap insan, maka akan wujud nilai-nilai positif di dalam diri individu tersebut, selain terus menerapkan aspek keagamaan ke dalam rohani dan jasmani. Contoh sikap warga Rusia dan Georgia harus kita contohi kerana di dalam keadaan Malaysia yang bergolak dengan arus politik, kita seharusnya melupakan sejenak kancah politik dan menumpukan kepada sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada atlit-atlit kita. Kita harus bersatu dan bukannya mementingkan diri sendiri. Justeru, kita seharusnya menerapkan budaya dan semangat sukan agar kita sentiasa positif, bersatu, dan berwibawa. InsyaAllah!!!

*Sumber daripada Utusan Online ‘Georgia, Rusia terus beraksi’ 13 Ogos 2008

Sunday, August 10, 2008

Kuah tetap tumpah ke nasi..Fikirkan..

PERSONALITI SUKAN KITA TIADA WIBAWA

Para personaliti sukan kita mempunyai masalah besar dalam mencapai kewibawaan sebenar. Mereka tidak menitikberatkan attitud, kemahiran, dan pengetahuan dalam aspek sukan sebenarnya. Telah banyak usaha dilakukan oleh banyak pihak terutama kementerian, akan tetapi tiada pencapaian yang membanggakan. Hanya segelintir pemain yang beraksi cemerlang. Namun, di sebalik ketidakwibawaan itu, ada pihak yang menyalahkan kehadiran pemain import terutama dalam sukan bola sepak, yang menjadi penyebab kemunduran mutu sukan. Kita harus berfikir mengapa sukan kita tidak bermutu, dan bukan menyalahkan pemain luar. Pemain luar, mereka beraksi cemerlang dan kadang kala, mereka terpaksa mengikut corak pemain tempatan yang kurang bermutu untuk mengimbangi cara setiap pemain. Padahal, mereka mampu untuk beraksi lebih cemerlang daripada yang sedia ada. Kesilapan di sini adalah pemain kita yang tidak belajar dari kualiti dan mutu pemain luar. Ini yang menyebabkan pemain kita seperti tidak belajar apa-apa. Jadi, secara kesimpulannya, personaliti sukan kita perlu berpendidikan sukan, mempunyai attitud sukan, dan mempunyai kemahiran sukan yang berkualiti. Semua ini dapat meninggikan imej dan memajukan industri sukan tanah air. Malaysia Boleh!!!

*Sumber daripada Utusan Online ‘Bola sepak tidak dipengaruhi pemain import’ 5 Ogos 2008

Thursday, August 7, 2008

Mari Mengurus Duit

PENGURUSAN KEWANGAN

Pengurusan kewangan adalah perkara terpenting bagi setiap individu. Kehidupan di zaman yang serba moden ini memerlukan satu mekanisma pengawalan kewangan dan bukannya pengawalan perbelanjaan. Pengawalan kewangan ini meliputi cara bagaimana individu tersebut merancang pengaliran wang mereka. Perbelanjaan tidak boleh dikawal pada masa sekarang kerana sememangnya kehidupan di masa kini sentiasalah perlu akur dengan keadaan di mana setiap perkara yang dilalui memerlukan wang. Jadi konsep pengawalan perbelanjaan perlu diadaptasikan menjadi pengurusan kewangan. Dalam kehidupan moden ini, harga barangan tinggi dan sistem kredit adalah sesuatu yang normal. Oleh itu, cara atau formula untuk menguruskan kewangan pada masa kini adalah seperti jadual di bawah ini

HUTANG-PIUTANG
30%
SARA HIDUP
50%
PELABURAN
10%
SIMPANAN
10%

Jadual di atas ini merupakan jadual pengurusan kewangan mengikut kategori. Dalam kehidupan seharian, bebanan hutang perlu diselaraskan menjadi 30% sahaja daripada jumlah pendapatan bulanan. 50% pula adalah sara hidup daripada jumlah pandapatan bulanan. Bagi simpanan pula, ketetapan sebanyak 10% daripada pendapatan bulanan perlu dibuat. Sebanyak 10% daripada jumlah pandapatan bulanan adalah untuk pelaburan jangka panjang. Sekiranya formula asas ini diterapkan ke dalam kehidupan seharian, maka permasalahan kewangan akan dapat diminimakan. Semua golongan terutama para pelajar perlu menguruskan kewangan mengikut formula yang diberikan atau dengan formula yang lebih baik jika ada, supaya kehidupan masa kini dan akan datang menjadi lebih terjamin hendaknya.

*Sumber daripada Utusan Online ‘Modul pengurusan kewangan peribadi diperkenal di IPTA’ 5 Ogos 2008

Monday, August 4, 2008

Pelajar IPT yang berkarisma

PELAJAR AKTIF, PELAJAR BERWIBAWA

Para pelajar seharusnya bergiat aktif dalam mengisi masa dan ruang yang ada sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membentuk graduan yang berkualiti tinggi. Justeru, para pelajar perlu menggiatkan diri di dalam persatuan dan kursus-kursus luar untuk memperkasakan diri di dalam menempuh cabaran global ini. Di dalam dunia yang serba mencabar ini, aspek teori dan praktikal serta aplikasi ilmu pengetahuan perlu diterapkan dalam diri setiap pelajar. Ini bertujuan untuk memudahkan para pelajar menempatkan diri di dalam sektor-sektor pekerjaan kelak. Selain itu juga, para pelajar dapat menyumbang idea-idea baru untuk faedah rakyat dan Negara. Sekiranya para pelajar tidak diasah dari awal lagi, maka tiadalah pengganti kepada pemimpin-pemimpin pada masa kini untuk masa akan datang. Tetapi, pelajar harus diingatkan supaya tidak mempolitikkan persatuan dan kursus yang disertai. Ini kerana jika dipolitikkan, maka segala usaha akan menjadi sia-sia dan tiada hala tuju yang global. Perkara yang perlu difikirkan ketika berpersatuan dan menyertai kursus adalah bagaimana sumbangan idea dan perlaksanaan pelajar tersebut untuk rakyat Malaysia dan Negara. Majulah pelajar untuk Negara!!!

*Sumber daripada Utusan Online ‘Kesalahan AUKU tidak lagi ke mahkamah’ 29 Julai 2008